Monday, February 27, 2006

Menghalang pornografi

Antara isu yang sering dikaitkan dengan Internet adalah pornografi. Tidak dinafikan, bahan lucah menjadi sebahagian daripada tarikan utama penggunaan Internet. Terdapat puluhan malah ratusan ribu laman web lucah komersial mahupun amatur di dalam Internet dan paling menakutkan, ia boleh diakses oleh sesiapa sahaja. Sesetengah bijak pandai berpendapat, meningkatnya kadar jenayah seksual seperti rogol berpunca daripada kehadiran laman-laman sebegini. Adakah kita mahu membiarkan sahaja minda suci adik-adik dan anak-anak kita dicemari budaya kuning ini?

Menyedari bahaya pornografi Internet, pembangun perisian dan cendikiawan IT mula membina perisian untuk menghalang laman-laman ini daripada dimasuki mereka yang masih mentah. Kebanyakan perisian akan menghalang URL tertentu yang disyaki laman lucah. Namun ia belum mencukupi. Terdapat beribu laman web baru dan ada yang berselindung di sebalik nama yang agak ‘bersih'. URL sebegini biasanya akan terlepas pandang oleh perisian anti pornografi biasa.

Pornografi bukan sekadar memberi masalah kepada kanak-kanak, malah turut mendatangkan kesan buruk kepada produktiviti syarikat di mana kebanyakan pekerja mempunyak akses Internet. Menurut statistik standard Industri tahun 2000, 70 peratus trafik laman lucah berlaku antara jam sembilan pagi hingga lima petang. Menurut CBS Marketwatch pula, dua pertida daripada syarikat-syarikat yang ada mempunyai masalah pekerja-pekerja menyalahgunakan Internet untuk melayari laman porno.

Setakat ini, antara perisian paling berkesan menghalang gambar lucah (dari Internet) daripada mengisi skrin-skrin komputer adalah iShield. Ia menggunakan enjin pengesan canggih untuk menganalisa dan menghalang imej-imej lucah. Walaupun tidak 100 peratus sempurna, perisian ini boleh dianggap berjaya dalam menapis imej-imej lucah daripada perayau web anda.

iShield mengambil pendekatan unik dalam mengenal pasti imej tidak bermoral Internet dan menghalangnya daripada dipaparkan di skrin anda. Ia menggunakan tiga langkah untuk memproses imej-imej sebelum dipaparkan di skrin.

1)Pemproses imej digital menganalisa imej bagi menentukan sama ada ianya lucah atau tidak. -Analisis dilakukan ke atas beberapa faktor seperti tona warna kulit, tekstur, sempadan obejk, jisim, bentuk kaki dan tangan, serta muka. Biasanya imej gambar bogel mempunyai ciri-ciri sama merangkumi kesemua faktor di atas.

2)Hasil analisa imej dan teks pada skrin digunakan untuk menentukan tahap kelucahan imej tersebut. -Selain imej, sokongan teks juga membantu menentukan jenis gambar yang akan dipaparkan. Jika teks pada laman tersebut mempunyai perkataan lucah yang biasa digunakan, secara automatik ia diklasifikasikan sebagai imej lucah.

3)iShield akan menghalang imej lucah sebelum ia dipaparkan pada skrin. -Beberapa cara digunakan untuk menghalang gambar daripada dipaparkan. Gamabr-gambar tersebut boleh ditukar dengan gambar sedia ada pada fail pengguna atau menggunakan default iShield berupa gambar perisai. Pengguna juga boleh membiarkan sahaja imej tersebut dipaparkan tetapi merekod setiap paparan imej lucah tersebut.

Seperti yang dikatakan, iShield hampir sempurna dalam menapis bahan-bahan lucah tetapi masih tidak dapat lari daripada kekurangan. Ada kalanya, gambar-gambar tidak lucah tetapi mempunyai kriteria hampir sama dengan gambar lucah turut dihalang. Sebagai contoh, gambar bayi atau kanak-kanak (tona warna kulit) atau gambar orang dewasa sedang berkelah di tepi pantai (bentuk dan sempadan objek). Bagaimanapun, iShield mengatasi kelemahan ini dengan meletakkan kadar penyelarasan tahap kelucahan yang boleh ditetapkan oleh pemilik komputer.

Kadangkala, laman web perubatan atau pendidikan tertentu yang tidak lucah turut dihalang oleh iShield (disebabkan teks tertentu). Kelemahan ini diatasi dengan membenarkan pengguna meletakkan alamat laman tersebut ke dalam senarai Putih (White List). Sebaliknya, jika laman web yang tidak mempunyai kriteria lucah tetapi menyinggung perasaan pengguna, boleh diletakkan ke dalam senarai Hitam (Black List) kerana laman sebegini biasanya akan terlepas dari pemerhatian iShield.

iShield juga mempunyai kesukaran dalam menganalisa laman web atau file grafik yang mempunyai kualiti imej kurang bermutu atau cahaya latar terlebih cerah. Jadi apa terlepas hanyalah imej lucah tidak ber'kualiti' (kualiti dimaksudkan adalah dalam istilah fotografi).

Kesimpulannya, cara terbaik menghalang gejala pornografi Internet adalah melalui kesedaran dan pendidikan moral. Secanggih manapun perisian yang digunakan, masih ada kelemahan dan cara yang digunakan untuk mengatasinya. Seperti kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home